MENGHARAP KEAMPUNAN DARIPADA ALLAH - ADAKAH YANG LEBIH BESAR HARAPAN DARI INI?

Dalam sebuah hadis Qudsi;

Daripada Anas radhiallahuanhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Allah Taala telah berfirman (maksudnya): "Hai anak Adam! Sesungguhnya selagi mana engkau menyeru NamaKu dan berharap kepadaKu, Aku akan ampunimu, apapun keadaanmu dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! Seandainya dosamu mencecah langit, kemudian engkau memohon ampun, akan Aku ampunkan dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! sekiranya engkau datang kepadaKu dengan dosa sebesar bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan sebesar bumi juga!” (HR at-Tirmizi)

Apakah ada harapan yang lebih besar daripada harapan seorang hamba yang berdosa selain daripada mengharap keampunan Tuhannya? Dan kalau harapan sebesar itupun Allah tunaikan, apatah lagi harapan yang lebih kecil dan ringan daripada itu?

Walau bagaimanapun tidaklah semua harapan itu dituntut dan dipuji. Ada harapan yang tercela dan dilarang.

Harapan yang dipuji ialah harapan seseorang hamba yang melakukan amal soleh. Dia berharap agar amalannya diterima dan diberi pahala.

Juga harapan seseorang hamba yang berdosa, kemudian dia insaf dan bertaubat. Dia berharap agar Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya.

Harapan yang dicela ialah harapan seseorang yang bergelumang dengan dosa dan maksiat, kemudian dia berharap Allah akan merahmatinya tanpa taubat dan amal. Itu merupakan harapan palsu dan dusta semata-mata.

Harapan yang hakiki ialah engkau berenang meredah badai menuju ketepian pantai. Manakala harapan yang palsu ialah engkau terapung di tengah lautan yang bergelora sambil berharap pantai akan bergerak mendekatimu.

Mudah-mudahan kita semua sentiasa berharap agar Allah akan mengampuni dosa-dosa dan menunaikan segala hajat kita. Dan untuk itu kita perlu berusaha sedaya upaya / bersungguh-sungguh supaya tidak mempunyai harapan yang tercela. Kita juga hendaklah berharap hanya kepada Allah BUKAN kepada makhluk. Tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah jua ....

Marilah kita berdoa, bermunajat kepada Allah. Semoga Allah mengampuni kita, dan menghapuskan kita dari segala dosa yang telah lalu.

Ya Allah,
Ampunilah semua dosa-dosa kami, baik sengaja atau pun tidak, berkahilah kami, ramahtilah kami, berikanlah kami hidayah-Mu agar kami senantiasa dekat kepada-Mu hingga akhir hayat.

Aamiin ya Rabbal'alamin

Komentar

Postingan populer dari blog ini

JANGAN MARAH (INGAT PESAN RASULULLAH SAW)

Enam Tanda Sehatnya Hati

BALASAN & AZAB DOSA ZINA ..